KOTA KINABALU, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Sumber logistik dan kedudukan geografi yang strategik menjadi antara faktor penting pemerkasaan inisiatif industrialisasi di negeri Sabah selaras dengan usaha kerajaan membangunkan ekonomi menerusi Belanjawan 2025.
Belanjawan dengan peruntukan RM421 bilion itu turut memberi penekanan kepada pembangunan taman-taman perindustrian bertujuan membentuk struktur ekonomi yang lebih moden sekaligus menjamin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad Dr. Firdausi Suffian, berkata negeri Sabah mempunyai potensi yang cukup baik untuk dibangunkan dengan ekonomi berasaskan perindustrian dan didorong dengan struktur modenisasi.
“Tanpa industrialisasi, tidak mungkin ada modenisasi ekonomi berlaku, itu asas, kita lihat sekitar tahun 80-an apabila Malaysia memperkenalakan Dasar Perindustrian Berat dan ia menampakkan perubahan yang ketara contohnya dengan industri automotif, komponen elektrik dan sebagainya.
“Sama juga dengan Sabah dan Sarawak, taman-taman industrialisasi ini harus dikembangkan dan diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan juga kepada pembangunan hiliran terutama berkait rapat dengan kenderaan elektrik (EV), Teknologi Maklumat (IT), Internet of Things (IoT), bukan sahaja tertumpu kepada semenanjung,” katanya dalam program Influencer@JAPEN, di sini pada Selasa.
Jelas Firdausi, keupayaan negeri Sabah untuk mewujudkan rangkaian logistik dan sumber tenaga yang mencukupi juga menjadi faktor tarikan buat pelaburan jangka panjang dengan limpahan ekonomi di peringkat domestik dan global.
“Sumber logistik Sabah mempunyai kesan pelbagai dilihat dengan adanya perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan dan ini juga dilihat menerusi maintenance (penyelenggaraan), repair (pembaikan) and (dan) operations (baik pulih) (MRO) merangkumi industri kapal terbang, perkapalan dan pelabuhan.
“Selain infrastruktur, bekalan tenaga juga penting dengan adanya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Sabah mempunyai struktur yang sesuai, Sabah ada Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) dan ini menjadi nilai tambah tetutama dari sektor tenaga kerana ini komponen yang penting buat Sabah untuk kegunaan domestik dan perindustrian,” jelasnya.
Terdahulu, Belanjawan 2025 meletakkan peruntukkan pembangunan khusus kepada negeri Sabah dan Sarawak masing-masing dengan RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion di samping pemberian khas berjumlah RM600 juta sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih di kedua-dua negeri.
Source: Malaysia Aktif